Musim pandemik buka peluang wanita ini selongkar video-video travel lama, tapi kenapa sampai 4 kali pergi Pakistan?

PAKISTAN mungkin satu destinasi pelancongan yang agak asing dalam kalangan rakyat negara kita.

Namun wanita ini membuktikan sebaliknya apabila video dia mengembara ke negara itu tiba-tiba tular dan meraih perhatian ramai di TikTok.

Menurut Nurul Husna Shuib, 31, dia sudah empat kali ke Pakistan dan menyifatkan ia sebagai negara yang cukup indah dan luar biasa.

“Saya tak pergi banyak negara lagi. Cuma pernah melawat dalam sembilan negara setakat ini. Cuma saya suka repeat tempat sama banyak kali.

“Macam India dah 10 kali, Pakistan empat kali. Saya pertama kali ke Pakistan pada tahun 2019. Kemudian selepas itu saya ke sana lagi, bawa adik dan kawan-kawan.

“Saya kerap ke sana sebab pemandangan sangat cantik. Pada saya, Pakistan merupakan lokasi underrated. Gunung-ganang di sana sangat cantik.

“Tambah-tambah kalau kita ikut road trip. Sepanjang perjalanan, boleh nampak muka bumi sebenar. Ada gunung bertanah, gunung berbatu dan bersalji,” ujarnya kepada mStar.

husna2

Menurut Husna, Pakistan banyak dihiasi dengan pemandangan gunung-ganang yang indah.

Malah katanya, dia menyimpan hasrat untuk berkunjung semula ke sana selepas pandemik Covid-19 berakhir.

Bercerita lanjut, dia yang mesra disapa Husna mengakui kelapangan waktu ketika pandemik memberi ruang untuknya menyelongkar semula video-video lama sebelum dikongsi ke TikTok.

Sejujurnya berbeza bila kita melancong sendiri dan bawa orang untuk melancong.

Tambahnya, dia turut terkejut apabila ramai rakyat negara ini memuji keindahan Pakistan, tak kurang juga yang meluahkan hasrat untuk ke sana kelak.

“Dulu saya pernah share di Facebook dan agak mendapat perhatian juga. Kemudian sekarang banyak kerja dari rumah, jadi saya jumpa balik video-video lama dalam Go-Pro.

“Saya kongsikan di TikTok, tak sangka boleh viral. Sejujurnya Pakistan negara yang cantik dan Muslim friendly, rasa macam dekat di hati.

husna3

Husna berjinak-jinak sebagai pemandu pelancong pada 2018.

“Sepanjang perjalanan naik van di sana, banyak kali kami berhenti sebab nak ambil gambar,” ujarnya berseloroh.

Mengenai dirinya, Husna merupakan graduan bidang Pemulihan Cara Kerja dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) dan bekerja sebagai jurupulih cara kerja atau therapist dalam bidang kanak-kanak.

Dalam masa yang sama, dia turut menjadi pemandu pelancong, berbekalkan pengalaman bekerja dengan agensi pelancongan sebelum ini.

“Dulu ketika habis belajar, saya pernah kerja dengan agensi pelancongan. Selepas itu baru saya masuk bidang kesihatan.

“Dengan pengalaman itu juga, saya pernah arrange trip untuk kawan mak ayah, bawa kawan-kawan sendiri dan adik pada 2018 untuk ke luar negara.

“Lepas tu saya mula bawa orang luar juga. Jadi saya buat secara full time pada 2019 sebagai travel guide dan tinggalkan kerjaya sebenar saya.

“Tapi bila tahun 2020, Covid-19 melanda, saya kembali dekat kerjaya lama sebagai therapist,” ujarnya lagi.

husna4

Kenangan ketika berkunjung ke Kashmir, India.

Kata Husna, dia berharap agar pandemik berakhir segera agar sektor pelancongan dapat dibuka seperti suatu masa lalu.

Paling penting katanya bagi mereka yang mahu melancong, setiap individu itu harus miliki keberanian untuk mencuba perkara baharu.

“Nasihat saya, kita kena berani mencuba. Tapi keberanian itu haruslah berlandaskan kepada sesuatu yang kukuh.

“Kena study dulu tempat tu sebelum kita pergi. Tak salah mencuba, tapi kena jaga keselamatan juga.

“Sejujurnya berbeza bila kita melancong sendiri dan bawa orang untuk melancong. Ada cabaran tersendiri, tapi Alhamdulillah setakat ini pelanggan saya semua OK.

“Saya gembira dapat bawa trip,” ujarnya mengakhiri bicara.

Sumber Mstar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *